Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad

Dilahirkan di Kg. Seberang Takir pada 23 Jun 1964. Beliau mendapat didikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu. Pada tahun 1988, beliau menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dengan Ijazah di dalam bidang Kejuruteraan Sumber Mineral.
Kecemerlangan akademiknya melayakkan beliau untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah di bawah tajaan IDP Australia. Akhirnya beliau berjaya merealisasikan matlamatnya dan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, juga dalam bidang kejuruteraan, pada usia 29 tahun daripada The University of Queensland, Brisbane, Australia.
Seterusnya beliau berkhidmat sebagai Pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan, USM. Pada November 1995, atas minat beliau yang begitu mendalam di dalam bidang motivasi membuatkan beliau meletakkan jawatan sebagai pensyarah, untuk melibatkan diri sepenuh masa memberikan kursus-kursus motivasi.
Pengalaman dan latar belakang beliau, meyakinkannya bahawa ada cara yang lebih baik untuk setiap orang memprogramkan minda dan membentuk sikap agar turut mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Beliau juga kini, diberi kepercayaan untuk memegang amanah sebagai Presiden TAMRIN.





